Industri Kentang A.S.

Profil Penanam A.S.

Tahukah anda bahawa kebanyakan ladang kentang di A.S. adalah milik keluarga? Betul! Dari California hingga ke Carolina, keluarga seperti keluarga anda bertungkus lumus sepanjang tahun untuk menanam, menjaga dan menghantar kentang dari ladang mereka ke pasaran di tempat anda. Luangkan masa anda seketika untuk berkenalan dengan lelaki dan wanita dari seluruh Amerika Syarikat yang berbangga membantu membekalkan makanan kepada anda sekeluarga.

Larry Alsum

Larry telah dibesarkan di ladang tenusu milik keluarganya di Wisconsin. Kerana itu, anda tentu menyangka Larry memilih perladangan sebagai kerjayanya. Sangkaan anda salah. Selepas menamatkan pengajian kolej, beliau mengorak langkahnya sendiri dan menjadi seorang Akauntan Raya Bertauliah.

Namun, beberapa kejadian telah mengubah hidupnya. Pada 1981, Larry kembali ke dunia pertanian dengan menyertai perkongsian perniagaan kecil (Alsum Produce) yang membungkus semula kentang dan bawang. Pada 1989, Larry menyertai usaha sama perladangan selama 3 tahun, dan kemudian pada 1992 beliau memulakan ladang Alsum Farms, Inc. seluas 750 ekar. Kini, Alsum Farms & Produce, Inc membungkus dan memasarkan lebih 1.8 juta cwt kentang. Operasi perladangan telah diperluas kepada 1,900 ekar kentang segar termasuk russet, merah, emas, putih, dan jejari.

Alsum Farms terlibat secara serius dalam program Kelestarian Kentang Wisconsin, ‘Healthy Grown®’. Menurut Larry, keadaan bukannya sentiasa mudah, tetapi beliau tidak akan berganjak. "Bila kami lebih terlibat dalam industri perladangan, saya sedar bahawa keputusan yang kami buat sebagai peladang berkait rapat dengan persekitaran di luar ladang kami," jelasnya. "Ini adalah peluang pembelajaran yang baik. Menjadi sebahagian daripada Healthy Grown® benar-benar telah membantu saya memahami apa yang saya lakukan sebagai seorang peladang, mengapa saya lakukan apa yang saya lakukan, dan kesan keputusan saya ke atas alam sekitar dan orang yang bekerja dengan saya."

Larry dan isterinya, Paula, telah berkahwin selama 37 tahun. Mereka dikurniakan lima cahaya mata: Timothy, Heidi, Wendy, Chad dan Noah. Mereka juga mempunyai enam cucu. Empat daripada anak mereka bekerja dalam perniagaan keluarga sebagai pengurus IT, pengurus pemasaran, penganalisis kewangan, dan di bangsal pembungkusan. Anak bongsu mereka masih bersekolah, tetapi gemar membantu kerja-kerja di ladang. Memandangkan industri perladangan dan hasil tani membawa banyak cabaran dan peluang, Larry teruja melihat keluarga sendiri terlibat dalam begitu banyak aspek perladangan dan perniagaan.

Grower Profile --- Larry Alsum

Ken Burback

Di bandar kecil Center di Colorado, Ken Burback meneruskan tradisi perladangan keluarganya dengan menguruskan Bigelow Associated Farms. Ken adalah generasi keempat peladang yang berasal dari Jerman. Moyangnya berpindah ke Amerika Syarikat dari Rusia pada 1901. Di satu peringkat dalam hidupnya, Ken tinggal dan bekerja di Ukraine, tidak jauh dari tempat tinggal nenek moyangnya.

Ken mula menanam kentang pada 1980. "Saya seronok menanam kentang," katanya. "Industri ini sangat menarik dan penuh dengan orang yang paling hebat di dunia. Saya seronok menggunakan teknologi baru dan inovasi industri kentang. Pengusaha kentang di seluruh A.S. hebat-hebat belaka."

Keluarga Ken terlibat dalam perladangan sejak turun-temurun. Bila ditanya mengapa beliau menjadi peladang, Ken menjelaskan, "Ia sudah jadi darah daging saya." Beliau rasa terikat dengan tanah. "Tuhan sentiasa mahukan manusia terikat dengan tanah dan tanaman dan menghormati Tuhan dengan menjaga kedua-duanya. Saya amat berbangga menjadi sebahagian daripada ini dan juga menjadi peladang dan pengeluar kentang."

Grower Profile --- Ken Burback

Rex Calloway

Perladangan kentang benar-benar satu tradisi keluarga bagi Rex Calloway. Sebagai peladang kentang generasi ketiga, Rex dan isterinya Melva menguruskan Calloway Northwest LLC di bandar Quincy, Washington. Datuk Rex membawa keluarganya berpindah dari Oklahoma ke Lembangan Columbia pada 1951. Bermula sebagai perusahaan kecil keluarga dengan ladang seluas 160 ekar, ia kini sudah diperluassehingga 3,000 ekar.

Cinta mereka kepada tanah, komitmen kepada pengawasan alam sekitar, dan kesungguhan untuk menanam dan menghasilkan makanan untuk dunia telah diwariskan kepada dua anak lelaki mereka. Dalam perusahaan perladangan, Rex paling gemar melihat biji benih kentang tumbuh dan membesar hingga mengeluarkan hasil, dan akhirnya dijadikan makanan.

Grower Profile --- Rex Calloway

Dan Chin

Dan Chin merupakan penanam kentang generasi ketiga di Klamath Falls, sebuah kawasan yang terletak di sempadan California-Oregon. Datuknya, Sam Wong, berpindah ke Amerika Syarikat dari Tanah Besar China pada 1914. "Dia selalu kata ada banyak peluang di A.S. Dia ingin datang ke A.S. untuk menanam kentang."

Wong tidak serik mengejar impiannya, walaupun dua kali gagal dalam perusahaan ladangnya, pertama di California dan kemudian di Nevada. Akhirnya pada 1930 beliau berada di tempat yang betul dan pada masa yang betul selepas membeli ladang di Klamath Falls dan mula menanam kentang bersama anak lelakinya, George. Pada 1999, Dan membeli operasi perladangan ini daripada bapanya dan menukar nama kepada Wong Potatoes. Hingga ke hari ini, mereka meneruskan perusahaan menanam, menyisih, membungkus, dan menghantar kentang. Bapanya, yang kini berusia 85 tahun, menyeliakan operasi penghantaran dengan trak.

Dan dan isterinya, Dee Dee, menguruskan ladang seluas 4,000 ekar, dengan 1,200 ekar dikhususkan untuk tanaman 20 jenis kentang yang berlainan termasuk kentang merah, kuning, ungu, putih dan jejari. Operasinya telah menambah pengeluaran kentang organik daripada 10 peratus pada 2003 kepada hampir 75 peratus sekarang. Mereka juga menanam bawang, rumput yang berkualiti untuk lembu susu, serta gandum merah dan putih. Di bawah nama Wong Potatoes, mereka mengendalikan operasi pembungkusan kentang segar dan menjualnya ke seluruh A.S. dan negara-negara Lembangan Pasifik.

Grower Profile --- Dan Chin

Justin Dagen

Justin Dagen dari Karlstad, Minnesota, ialah peladang generasi kelima. Keluarganya telah mengerjakan ladang di bandar Springbrook, yang terletak hanya 55 batu di selatan sempadan Kanada, selama 129 tahun. Beliau sudah "menyusuri perjalanan membentuk peribadi" ini selama 35 tahun, tetapi dengan bantuan isterinya, Donna, dan empat anak mereka, beliau masih mencintainya.

Menanam kentang benih yang disahkan berkualiti sudah menjadi keutamaan ladangnya selama lebih 75 tahun. Bapanya meninggal dunia sewaktui Justin baru berumur 17 tahun. Beliau memilih untuk mengikuti jejak langkah bapanya dan mengambil alih pengurusan operasi pada 1977, "meskipun agak keberatan," katanya.

Justin teruja menjadi pengeluar kentang dan membekalkan makanan kepada insan jauh dan dekat. Beliau rasa kebanyakan orang akan terkejut bila mendapat tahu sejauh mana komitmen peladang untuk menanam kentang yang berkualiti dan menjaga keselamatan alam sekitar. "Kami berbangga membekalkan makanan kepada negara, sebiji kentang yang lazat pada satu masa."

Grower Profile --- Justin Dagen

Steve & Andy Diercks

Coloma Farms adalah sebuah ladang seluas 2,700 ekar yang berpacukan inovasi, tradisi dan kelestarian, dikendalikan oleh penanam generasi ketiga dan keempat, Steve dan Andy Diercks. Steve dibesarkan di ladang kentang dekat Antigo, Wisconsin. Beliau berpindah bersama bapanya, Robert, ke kawasan Central Sands Plains di Coloma, Wisconsin, di mana mereka menjalin hubungan kerja dengan pakar penyelidik kentang di University of Wisconsin (UW) – sebahagian daripada peringkat pertama yang memacu pembentukan Healthy Grown®. Steve dan Andy terlibat sejak dari mula dan sebahagian besar penyelidikan yang dijalankan di ladang mereka memainkan peranan penting dalam pembentukan piawaian Healthy Grown.

"Cabaran dalam perladangan lestari adalah mengeluarkan tanaman yang berkualiti dan mengeluarkan hasil yang tinggi tetapi pada masa yang sama, mengurangkan kesannya ke atas alam sekitar. Pengalaman kami bekerja dengan pasukan kentang di UW mengajar kami untuk mengubah cara kerja kami dan bukan sekadar mengeluarkan kentang yang berkualiti, tetapi juga melakukan sedemikian dengan cara yang lebih baik," kata Andy.

Steve menambah, "Kami mempersoalkan setiap langkah yang kami ambil di ladang kami. Bekerja dengan pasukan penyelidik UW benar-benar mencabar cara fikir kami – dan memberi manfaat kepada semua."

Andy membuat kesimpulan, "Wisconsin adalah sebuah negeri kentang ‘hijau' – dan kami amat berbangga dengannya."

Grower Profile --- Steve & Andy Diercks

Richard & Rod Gumz

Dua beradik Richard dan Roderick Gumz mengasaskan Gumz Muck Farms, LLC pada 1994 dan merupakan generasi keempat keluarga peladang Gumz. Mereka menanam, menyimpan dan membungkus kentang merah dan bawang besar kuning untuk jualan runcit. Dua beradik Gumz ini menanam kentang merah, lobak merah, jagung, kacang soya dan pudina di ladang seluas 6,000 ekar di tiga daerah Wisconsin – Marquette, Columbia dan Sauk.

Tanaman yang diusahakan oleh mereka memang sesuai untuk tanah muk kerana tanah jenis ini membentuk sebahagian besar daripada ladang mereka. Mereka berdua adalah penanam kentang Healthy Grown dan sebagai pengusaha tanah, mereka berbangga menggunakan teknik pengurusan makhluk perosak bersepadu di ladang mereka, dan menguruskan kerja pertanian secara bertanggungjawab.

Grower Profile --- Richard & Rod Gumz

Eric Halverson

Sebaik sahaja Eric cukup besar untuk memegang stereng, beliau mula memberi sumbangan sebagai ahli keluarga yang bekerja di ladang keluarga. Beliau melanjutkan pelajaran di North Dakota State University dan mendapat ijazah kejuruteraan pertanian dan biosistem. Eric memulakan kerja perladangan secara rasmi pada 1999, dan kini memegang jawatan naib presiden eksekutif bahagian teknologi di ladang keluarganya, Black Gold.

Sejarah turun-tumurun Black Gold bermula pada 1928 apabila moyang Eric, A.E. Halverson, mula menanam kentang di kawasan tempat tinggalnya di Forest River, ND. Pewarisnya ialah datuk Eric, Jack Halverson, yang meneruskan pembangunan ladang. Bapa Eric, Gregg Halverson, kini presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, melonjakkan pertumbuhan dan perkembangan apabila beliau meluaskan operasi ke luar North Dakota.

Selain North Dakota, kini keluarga Eric menguruskan ladang di Texas, Florida, Georgia, Arkansas, Missouri, North Carolina, Maryland, Indiana, Michigan, dan Louisiana. Sebahagian besar tanaman kentang mereka adalah jenis kentang kerepek, tetapi mereka juga mengeluarkan kentang benih, dan pelbagai jenis kentang segar, termasuk kentang merah, putih, jejari dan isi kuning.

Di peringkat ini dalam hidupnya, Eric mempunyai dua keutamaan. Pertama, keluarganya: iaitu isterinya, Yvette dan tiga anak perempuan mereka yang masih kecil, Lucy, Stella dan Ruby. Kedua ialah meneruskan tradisi keluarga sebagai pengeluar kentang. "Saya rasa bersyukur bila bangun pagi setiap hari kerana bekerja dalam industri kentang. Saya teruja bila memikirkan hakikat bahawa kentang adalah produk yang sangat serba guna, dan setiap orang gemar makan sesuatu jenis produk kentang!"

Grower Profile --- Eric Halverson

Randy & Karlene Hardy

Pasangan kekasih sejak di sekolah tinggi, Randy dan Karlene Hardy, telah dilahirkan, dibesarkan dan sekarang menguruskan ladang di Oakley, sebuah bandar kecil dengan penduduk seramai 673 orang, yang terletak antara gunung-ganang di selatan-tengah Idaho. Karlene menceritakan tentang suaminya, "Sejak kami menjalin hubungan sebagai pasagan kekasih, saya tahu Randy sangat berminat dalam pengurusan ladang."

Pada Jun 1972, Randy dan Karlene berkahwin dan berpindah dari kolej ke rumah untuk membantu bapanya menguruskan ladang seluas 300 ekar. Dua bulan kemudian, bapanya meninggal dunia, meletakkan tanggungjawab menguruskan ladang di bahu Randy. Kini, Hardy dan anak lelakinya, Ben, menguruskan operasi ladang keluarga seluas 3,000 ekar bersama dua kakitangan sepenuh masa Hardy Farms, Inc. Mereka menanam gandum, barli, rumput alfalfa, dan jagung untuk makanan ternakan, bersama 625 ekar kentang segar Russet Burbank.

Cara hidup luar bandar di Idaho memang menarik, kata Karlene. Mereka membesarkan lima anak, semuanya lelaki kecuali seorang, dan berbangga dengan kehadiran 26 cucu mereka. "Kami telah bekerja sebagai satu keluarga dan dapat mewariskan cinta terhadap ladang, hormat kepada alam semula jadi dan penghargaan kerja keras kepada anak-anak dan cucu-cucu kami."

Sudah tentulah kentang adalah makanan ruji dalam diet keluarga Hardy. Antara resipi kegemaran mereka termasuk kentang goreng dan kentang lenyek dengan kulit, kaserol kentang, roti kentang dan Spudnuts. Kalau ada satu perkataan yang boleh menceritakan tentang kentang, keluarga Hardy akan kata, "versatil."

Randy menyifatkan keupayaannya untuk meneruskan kerja perladangan sebagai satu kejayaan peribadi yang paling besar. "Saya sudah melihat ramai orang baik-baik terpaksa meninggalkan cara hidup ini. Saya rasa sangat bertuah kerana dapat membesarkan keluarga saya di ladang ini dan masih mampu bekerja di luar sana dan benar-benar merasai kepuasan dan kejayaan membesarkan tanaman. Industri kentang telah membantu saya membina kehidupan yang baik."

Sungguhpun Randy secara bergurau menafikannya, kali pertama hatinya terpaut pada Karlene ialah sewaktu beliau cuba melanggarnya dengan basikal semasa gred dua. Mereka menunggu sembilan tahun lagi sebelum menari bersama buat kali pertama, apabila Randy di sekolah menengah rendah dan Karlene di sekolah menengah tinggi. Randy dan Karlene merayakan ulang tahun ke-40 perkahwinan mereka pada 8 Jun, 2012.

Grower Profile --- Randy & Karlene Hardy

Justin Isherwood

Anda pasti tidak tahu tentang perkara ini. Seorang daripada penanam kentang Healthy Grown di Wisconsin – Justin Isherwood – adalah seorang penulis dan pengarang yang berjaya. Dan disebabkan bakat penulisannya, beliau telah ditemu ramah dalam rancangan kuiz National Public Radio –Whad'Ya Know? kendalian Michael Feldman.

Sebagai penulis, beliau pandai bermain dengan kata-kata. Jadi, bila ditanya tentang kepentingan Healthy Grown dan tanggungjawab peladang kepada tanah dan manusia, Justin memberi penjelasan dengan gaya bahasa yang indah. "Memang sentiasa terdapat etika kepada tanah, satu kewajaran untuk mencari imbangan ekonomi antara ladang dan hutan, satu tanggungjawab untuk menjaga tanah agar sentiasa produktif," katanya.

Tanggungjawab ini dikongsi oleh seisi keluarganya, yang mengerjakan ladang di Wisconsin sejak 1832, dan tinggal di ladang semasa Isherwood Farm sejak 1852. Selain anak lelakinya, Justin berkongsi tanggungjawab menguruskan ladang dengan dua adik lelakinya, serta isteri dan anak-anak mereka, dan mereka sudah menjadi sebahagian daripada Healthy Grown sejak piawaian ini diasaskan. Bagi Justin, "perladangan adalah satu tradisi keluarga; ladang menyatukan keluarga dan menghubungkan mereka dengan tanah."

Ladang Isherwood komited kepada aspek pemuliharaan ekosistem Healthy Grown. Menurut Justin, "Setiap peladang mesti, atau patut, mempunyai kesungguhan untuk mempertahankan identiti tanah, serta kuasa dan misterinya."

Apabila Justin tidak menulis atau mengerjakan tanaman kentangnya, beliau keluar menoreh pokok maple di kebun keluarganya di Plover, Wisconsin, dekat Buena Vista Marsh.

Grower Profile --- Justin Isherwood

Brett Jensen

Dibesarkan di ladang kentang, Brett tahu yang apa ingin dilakukannya. Peladang generasi ketiga ini belajar seni menanam kentang daripada bapanya. Pada 1994, selepas menamatkan pengajian di Rick's College di Rexburg, Idaho, dan Utah State University, Brett memulakan operasinya sendiri dari akar umbi. Kini, beliau menguruskan Brett Jensen Farms di Idaho Falls, di mana beliau menanam kentang russet Burbank untuk pasaran kentang segar dan russet Ranger untuk pemprosesan. Beliau juga merupakan pemilik bersama bangsal pembungkusan kentang segar dan menanam gandum, barli malt, rumput alfalfa dan jagung.

Brett mendirikan rumah tangga dengan Kristy, dan mereka dikurniakan lima cahaya mata – Jace, Rylee, Brayden, Karson dan Bella. Beliau gemar menghabiskan masa lapang dengan memburu, memancing dan melancong bersama Kristy, dan menyertai aktiviti pasukan bola keranjang, besbol dan bola sepak anak-anak mereka.

Musim paling paling digemarinya ialah musim luruh: "Saya suka mengutip hasil dan mengisi stok simpanan kentang."

Grower Profile --- Brett Jensen

Klaren & Cheryl Koompin

Koompin Farms, yang memenangi anugerah kerana usaha melindungi keselamatan alam sekitar, memulakan operasi pada 1959 sebagai sebuah ladang seluas 135 ekar, dengan 30 ekar daripadanya ditanam kentang. Kini, operasinya meliputi 14,000 ekar dan 3,300 ekar daripadanya ditanam kentang. Dua anak lelaki “generasi ketiga” keluarga ini, Kamren dan Kael Koompin, sudah mula melibatkan diri secara aktif dalam operasi harian ladang, dan berusaha untuk meneruskan warisan keunggulan Koompin. Keluarga ini benar-benar komited kepada kentang.

Pada 2005, Cheryl Koompin menyertai Inisiatif Bantuan Makanan Antarabangsa Lembaga Kentang A.S. (USPB) di Afrika Barat untuk membantu mengajar rakyat Senegal cara menyediakan kentang nyahhidrat A.S. Sehingga hari ini, beliau masih aktif bersama USPB, membantu usaha industri kentang dalam bidang ini.

"Sebagai peladang, kami dikurniakan keupayaan untuk mengeluarkan begitu banyak makanan yang berkhasiat. Namun, hampir separuh penduduk dunia mengalami kekurangan zat makanan disebabkan kebuluran dan kemiskinan. Lawatan ini membuka mata saya untuk melihat bagaimana saya dapat melaksanakan misi peribadi saya sendiri sambil membantu mengekalkan hasil pengeluaran kentang. Ia tidak rumit – kita boleh menghidupkan semula ekonomi ladang tempatan kita dengan membekalkan makanan kepada dunia."

Grower Profile --- Klaren & Cheryl Koompin

Keith LaBrie

Keith LaBrie ialah penanam kentang generasi ke-3 di St. Agatha, Maine, salah satu lokasi paling jauh di timur laut Amerika Syarikat. Keith dan adik lelakinya, Duane, menamatkan pengajian kolej pada 1989 dan kembali ke ladang untuk menjadi penanam kentang secara rasmi. Mereka bersyukur kerana mendapat sokongan dan bimbingan daripada ibu bapa mereka. Pada 2008, bapa mereka ‘bersara' tetapi seperti kata Keith, "ladang kami adalah benar-benar ladang keluarga," kerana kedua-dua ibu dan bapa mereka masih melibatkan diri secara aktif, bersama isteri serta anak-anak Keith dan Duane.

Dua beradik ini menanam pelbagai jenis kentang untuk pengeluaran produk kentang dan juga untuk pemprosesan kentang goreng. Bagi mereka, penanaman kentang di ladang seluas 1,200 ekar adalah sama penting dengan amalan memulihara alam sekitar. Keluarga LaBrie telah mendapat pengiktirafan kerana usaha mereka menjaga kesuburan dan keselamatan tanah. Menurut Keith, mereka terhutang budi kepada datuk dan bapanya kerana mengguna pakai amalan pemuliharaan alam sekitar dan mengajar mereka dua beradik tentang kepentingannya. "Kami diajar supaya menjaga tanah sebagai sumber yang berharga, dan untuk membolehkan kita menurunkannya kepada generasi yang akan datang, kita perlu melindunginya."

Keith dan isterinya, Jocelyne, mempunyai dua orang anak, seorang perempuan dan seorang lelaki. "Sejak dari kecil, saya sangat tertarik kepada tanah," jelas LaBrie. "Saya anggap usaha meneruskan tradisi perladangan keluarga sebagai satu peluang yang baik untuk saya dan keluarga saya."

Grower Profile --- Keith LaBrie

Rod Lenz

Rod Lenz dan tiga adik beradik lelakinya adalah penanam kentang generasi ke-2 Ladang Keluarga Lenz di Holyoke, Colorado. Rod tertarik untuk menjadi penanam kentang disebabkan cabaran dan risiko dalam perusahaan perladangan. "Terdapat begitu banyak ancaman kepada tanaman: cuaca, serangga, rumpai. Kami memerlukan mentaliti yang kuat untuk berdepan dengan pertarungan. Saya tertarik dengan cabaran untuk menghasilkan kentang yang berkualiti." Bagaimanapun, keakraban keluarga adalah aspek operasinya yang paling dibanggakan, memandangkan generasi ketiga sudah mula melibatkan diri secara aktif dalam kerja-kerja harian di ladang.

Satu perkara yang Rod rasa akan memeranjatkan kebanyakan orang bila mendapat tahu tentang kehidupan penanam kentang ialah keperluan untuk mereka memberikan tumpuan penuh dan sentiasa bersiap sedia untuk berdepan dengan pelbagai kemungkinan. "Saya sendiri masih kagum. Perusahaan ladang bukan sekadar menanam dan menunggu apa yang akan berlaku. Begitu banyak perkara lain menuntut perhatian."

Grower Profile --- Rod Lenz

Arnold Mack

Arnold Mack dari Lake Wales, Florida, memulakan kerjaya dalam industri perladangan pada usia muda. Keluarganya memiliki sebuah ladang kecil di Alabama, dipenuhi tanaman makanan untuk jualan kedai keluarga dan untuk keperluan mereka sendiri. Ini memberi inspirasi kepadanya untuk mula menanam tembikai pada 1967. Dan pada 1989 beliau mula menanam kentang di kawasan seluas 300 ekar sahaja. Kini, operasinya telah diperluas ke ladang seluas 2,100 ekar dan terus membesar. Arnold seronok melibatkan diri secara aktif dalam setiap fasa perniagaan dan belajar perkara baru setiap hari bersama isterinya, Brenda dan dua anak lelaki mereka, Chandler dan Jon David.

Mack Farms mempunyai keunikan tersendiri. Setiap tahun mereka adalah antara yang pertama menuai hasil tanaman kentang di Amerika Syarikat, sementara di tempat-tempat lain di seluruh negara masih dicengkam kesejukan salji. Mereka menanam kentang jenis baru iaitu ketang merah, putih dan isi kuning. Selain itu, mereka juga menanam kentang jejari sejak tiga tahun yang lepas.

Arnold seronok berdepan dengan cabaran yang tidak boleh diramalkan dalam perusahaan perladangan. "Segala-galanya akan berjalan seperti ini buat sementara waktu," jelasnya, "kemudian, tiba-tiba keadaan berubah menjadi lebih baik atau lebih buruk."

Grower Profile --- Arnold Mack

Dave Masser

Keluarga Masser telah menanam kentang selama lapan generasi. Untuk menghidupkan tradisi keluarga, Dave Masser meneruskan warisan ini di Sterman Masser Farms di Sacramento, PA. Sewaktu kecil, Dave tertarik dengan kesungguhan bapanya menguruskan perniagaan dan mendapat kepuasan daripada kutipan hasil tanaman.

“Kedua-dua ibu dan bapa saya dibesarkan dalam keluarga penanam kentang. Jadi, ia boleh dikatakan sudah menjadi darah daging saya,” jelas Dave. “Kedua-dua datuk saya juga adalah penanam kentang, dan saya diberitahu bahawa mereka dibesarkan dalam dunia perladangan dan menjadikannya sebahagian daripada hidup mereka. Kedua-duanya menggalakkan saya melakukan apa yang saya lakukan pada hari ini.”

Selain mewarisi minat untuk menanam kentang, Dave tertarik dengan cabaran menanam kentang di timur Amerika Syarikat. “Di sini kami berdepan dengan begitu banyak cabaran, khususnya keadaan permukaan bumi, batu-batan, dan cuaca. Kejayaan menghasilkan tanaman yang berkualiti dalam keadaan ini benar-benar memberi kepuasan.” Untuk mencapai kejayaan ini, sudah tentulah setiap ladang memerlukan pasukan pekerja yang kuat. Dave berbangga dengan pasukannya. “Mereka adalah kunci kejayaan kami dan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan kami. Mereka berkongsi kesungguhan untuk menguruskan perniagaan dan keinginan untuk membekalkan sayuran yang sihat, selamat dan berkhasiat.”

Grower Profile --- Dave Masser

Marty Myers

Lima generasi keluarga Myers telah menjadikan negeri Oregon kediaman mereka. Sebagai anak guru sekolah, kemungkinan Marty akan menjadi peladang adalah tipis. Bagaimanapun, atas dorongan Offutt, salah seorang penanam kentang yang terbesar di Amerika Syarikat, beliau memulakan Threemile Canyon Farms, LLC, di Lembangan Sungai Columbia di Boardman, Oregon, 150 batu di timur Portland.

Threemile Canyon Farms, menurut Marty, adalah contoh bagaimana sebuah ladang besar juga boleh mengguna pakai amalan perladangan hijau. Diiktiraf sebagai pemimpin dalam amalan pertanian lestari sepanjang satu dekad yang lalu, mereka telah membuktikan bahawa amalan perladangan hijau baik untuk perniagaan dan juga alam sekitar. Selain kentang, Threemile Canyon Farms menghasilkan produk tenusu dan sayur-sayuran organik.

Dengan mengamalkan teknik perladangan lestari yang terbaik – sama ada membabitkan penggunaan teknologi terkini atau proses semula jadi turun-temurun – mereka menyediakan makmal hidup untuk model amalan pertanian. Saiz dan lokasi mereka – yang jauh dari bandar dan pusat tumpuan penduduk – menyediakan banyak kawasan untuk penggiliran tanaman, penampan hidupan liar dan pengomposan bahan buangan ternakan tenusu. Mereka menggunakan teknologi canggih untuk menjaga kesihatan tanaman dan lembu mereka bagi memastikan kualiti yang diharapkan oleh pelanggan kami. Untuk membantu menjadikan Oregon pemimpin dalam usaha mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil, Threemile Canyon Farms menyertai projek inovatif untuk menghasilkan tenaga boleh dibaharui termasuk dairy digester yang menjana kuasa elektrik daripada pemprosesan baja. Ladang mereka menjana tiga puluh peratus daripada kuasa elektrik yang digunakan untuk pengairan dan aktiviti perladangan lain.

Marty berkahwin dengan Anne dan dikuniakan empat anak lelaki – Jason, Casey, Nick dan Eric. Beliau gemar bermain golf, menunggang basikal dan menyertai aktiviti dan acara sukan, dan paling penting, beliau juga gemar bermain dengan empat cucunya yang tinggal di Oregon.

Grower Profile --- Marty Myers

Nick Somers

Nick dilahirkan dalam keluarga peladang – beliau adalah generasi ketiga – tetapi kini merupakan satu-satunya ahli keluarga yang masih menjadi peladang. Bersama isterinya, Nick bertanggungjawab menyeliakan ladang kentang mereka seluas 400 ekar di Wisconsin yang mematuhi piawaian Healthy Grown.

Sebagai ahli Healthy Grown sejak piawaian ini diasaskan, Nick boleh berbangga melihat sejauh mana hasil program kelestarian ladangnya. "Ia adalah satu proses yang panjang. Sebaik sahaja kami membuat keputusan untuk membuat perubahan – mengamalkan kelestarian – kami terpaksa mencari orang lain yang boleh membantu kami. Kami memulakan langkah dengan bertemu pakar penyelidik dari University of Wisconsin dan keadaan menemukan kami dengan Tabung Hidupan Liar Dunia," kata Nick. "Adalah penting bagi kami mempunyai piawaian kelestarian yang tepat dan mesti dipatuhi oleh peladang setiap tahun. Jadi, proses ini mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan – iaitu 18 bulan. Tetapi ia berbaloi."

"Kami sudah mengharungi cabaran kelestarian. Dan kami boleh melakukanya. Malah, kami sudah melakukan semua ini selama lebih 10 tahun.

“Hakikatnya, apa yang kami lakukan adalah lebih baik untuk alam sekitar. Akhirnya, semua usaha gigih kami tidak sia-sia kerana kami dapat menikmati keindahan alam semula jadi dan melihat hidupan liar di keliling kami. Demi kita semua yang membesar di bumi ini, saya rasa seperti saya bertanggungjawab untuk mengekalkan kehijauan bumi kita," kata Nick.

Grower Profile --- Nick Somers

Sid Staunton

Sid Staunton dari Tulelake, California, ialah peladang generasi ketiga. Beliau bersama dua adik lelakinya, Marshall dan Ed, menguruskan Staunton Farms seluas 5,000 ekar. Mereka menanam kentang Russet, Russet Organik, Klamath Pearls dan Kentang Merah. Mereka juga menghasilkan gandum, barli, bawang, rumput alfalfa dan pudina dan komited untuk mengamalkan perladangan lestari. Marc, anak lelaki Sid yang berusia 28 tahun, menyertai mereka tiga tahun lalu. Bapa Sid pula, John, masih kerap datang ke ladang untuk "mengotorkan tangannya dengan tanah".

Legasi Staunton bermula apabila datuknya datang untuk menginap pada 1929 kerana tertarik dengan keindahan tasik yang menjadi tumpuan sebilangan besar unggas air. Pada bulan Oktober tahun yang sama, kedudukan ekonomi datuknya berubah sama sekali – daripada seorang pelabur kepada peladang – dalam masa 24 jam!

"Pada mulanya saya mahu bekerja dengan bank pelaburan," jelas Sid. "Kemudian takdir mengubah segala-galanya. Kebebasan berada di luar sana dan menukar tugas setiap jam menarik saya untuk kembali ke ladang, dan saya terus berada di sini kerana saya memilih gaya hidup ini untuk membesarkan anak-anak saya. Minat anak-anak lelaki saya terhadap penanaman kentang mencerminkan apa yang diwariskan oleh bapa saya kepada saya."

Sid dan isterinya, Tammie, sudah berkahwin selama 30 tahun. Tammie dibesarkan di Troutdale, Oregon. Kini, beliau bertanggungjawab terhadap kewangan ladang, menguruskan semua akaun untung dan rugi. Mereka mempunyai tiga anak: Kappie, Marc dan Curtis. Sid dan Tammie mengakui bahawa kunci kejayaan mereka dalam perniagaan adalah membuat keputusan berasaskan apa yang wajar, berpegang teguh kepada ketentuan takdir dan memberi keutamaan kepada keluarga.

Grower Profile --- Sid Staunton

Don Thibodeau

Don Thibodeau merupakan penanam kentang generasi kelima dari Fryeburg, Maine. Ladang keluarganya, Green Thumb Farms, Inc., berusaha untuk memulihara kawasan terbuka dan warisan tanaman Maine, dengan menanam kentang, rumput, kacang kering dan jagung di kawasan tanah subur seluas 2,200 ekar di Lembah Sungai Saco di bahagian Barat Maine. Peluang untuk membangun dan membesarkan operasi pertanian mendorong Don untuk terus melibatkan diri dalam perniagaan keluarga. "Ia menawarkan kebebasan kepada saya dan menggalakkan semangat keusahawanan."

Beliau berbangga dengan keupayaan Green Thumb untuk berubah mengikut tuntutan industri. Mereka terus membesar bukan sahaja dari segi saiz dan teknologi, tetapi juga kepelbagaian produk. Malah, pada 2005, Maine Distilleries (ditubuhkan bersama oleh Don dan adiknya, Lee) telah melancarkan produk baru, Cold River Vodka, diperbuat daripada kentang Green Thumb Farms.

Cerita yang disampaikan kepada Don dan adiknya oleh pakcik bapanya dan bapa pakciknya yang membuat vodka kentang sebelum dan semasa pengharamannya di A.S. pada tahun-tahun 1920-an telah mendorong dua beradik ini untuk memulakan perusahaan baru. Kini, selain vodka klasik, Maine Distilleries mengeluarkan Blueberry Flavored Cold River Vodka diperbuat daripada kentang dan beri biru liar Maine dan juga Cold River Gin. Mereka percaya bahawa operasi pengeluaran Cold River Vodka adalah satu-satunya operasi vodka “dari peringkat penanaman ke peringkat produk akhir” milik keluarga di dunia.

Green Thumb Farms selama ini telah menyaksikan banyak perubahan dan mengalami pertumbuhan yang tidak pernah mereka mimpikan. Sungguhpun ladang adalah milik keluarga, Don menjelaskan: "Kejayaan kami adalah hasil kerja keras dan dedikasi kakitangan kami yang setia. Perladangan adalah sebahagian penting daripada ekonomi kawasan Fryeburg, dan kami berbangga memainkan peranan kami untuk mengekalkan kumpulan kecil masyarakat di sini dan meneruskan legasi pertanian Maine."

Grower Profile --- Don Thibodeau

Russ Wysocki

RPE (juga dikenali sebagai Russet Potato Exchange) sudah beroperasi sejak tahun 60-an. Dimulakan oleh dua beradik lelaki Wysocki, RPE kekal sebagai perniagaan keluarga – perniagaan yang menegakkan piawaian lebih tinggi sebagai penanam dan pembekal Healthy Grown® (pembekal Healthy Grown® mesti mendapat pengesahan setiap tahun).

Mengapa bersusah-payah dan menambah kerja semata-mata untuk menjamin kelestarian? Jawab Russ, "Kami adalah pengusaha tanah – dan ini adalah peluang kami untuk buat kebaikan kepada tanah dan kebaikan untuk industri." Malah, Russ merasakan Healthy Grown® boleh membawa banyak kebaikan. "Perladangan lestari membawa banyak peluang di pasaran. Ia menambah baik imej Wisconsin dan kami harap ia akan mendorong negeri-negeri lain untuk mengikut jejaknya."

Ditanya apakah yang telah dilakukan oleh Healthy Grown® untuknya sebagai penanam kentang, Russ membuat kesimpulan, "Ia benar-benar telah merapatkan jurang antara isu alam sekitar dan isu perladangan."

Grower Profile --- Russ Wysocki