Industri Kentang A.S.

Amalan Penanaman

Penanam kentang A.S. menggunakan pengalaman luas dan pelbagai sumber untuk menjadikan kentang yang ditanam di Amerika Syarikat antara yang terbaik di dunia. Banyak faktor telah membolehkan amalan penanaman kentang di A.S.:

  • Program Pembenihan Kentang Bertaraf Dunia
  • Pengurusan Tanah dan Tanaman Secara Teliti
  • Benih Kentang Yang Disahkan Berkualiti Tinggi
  • Teknik Kutipan Hasil & Penyimpanan Yang Rapi
  • Pelbagai Pilihan Jenis
  • Pengairan Yang Tepat
  • Persekitaran Penanaman Yang Paling Sesuai
Growing Practices Tractor

Program Pembenihan Kentang Bertaraf Dunia

Perkhidmatan Penyelidikan Pertanian Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) bekerjasama dengan para penyelidik di universiti-universiti terkenal untuk melaksanakan program pembenihan kentang yang diiktiraf antarabangsa. Program ini terus menghasilkan jenis kentang yang prestasi tinggi untuk mengurangkan penyakit dan meningkatkan kualiti dan khasiat pemakanan. Pembangunan baka baru adalah hasil kacukan pelbagai jenis kentang yang berlainan.

Benih Kentang Yang Disahkan Berkualiti Tinggi

Semua kentang komersial A.S. ditanam eksklusif dari benih yang disahkan berkualiti tinggi. Pensijilan benih kentang A.S. adalah proses formal dengan pengesahan agensi-agensi USDA bahawa semua piawaian telah dipatuhi. Pengeluar benih mesti mematuhi semua piawaian berikut:

  • Benih diperolehi dari stok berkualiti yang dibiakkan dalam persekitaran makmal dan rumah hijau bagi menghapuskan patogen.
  • Bahan permulaan 100% diperolehi dari makmal kultur tisu dan menjalani ujian penyakit secara seragam dengan toleransi sifar.
  • Satu sistem penjanaan terhad mengawal penyakit dan mengekalkan ketulenan jenis. Di bawah sistem ini, lot benih A.S. disimpan dalam kitaran pengeluaran untuk tidak melebihi lima tahun.
  • Benih mematuhi peraturan ketat berhubung dengan kebersihan, penjagaan dan pemeriksaan lot, termasuk pelbagai pemeriksaan tapak, pemeriksaan dalam simpanan, pemeriksaan selepas kutipan hasil dan pemeriksaan di tempat penghantaran.

Pelbagai Pilihan Jenis

Penanam kentang A.S. mengeluarkan beratus-ratus jenis kentang dan sentiasa membangunkan lebih banyak jenis lagi untuk memastikan jenis yang terbaik untuk pelbagai kegunaan, daripada kentang segar untuk masakan hingga kentang untuk pemprosesan.

Persekitaran Penanaman Yang Paling Sesuai

Semua kawasan tanaman kentang di Amerika Syarikat mempunyai tanah gembur yang subur dan iklim yang sesuai untuk tanaman kentang. Musim panas menyediakan persekitaran yang diperlukan oleh kentang, iaitu siang panjang dan panas manakala malam sejuk. Musim sejuk yang panjang menghindarkan makhluk perosak dan penyakit. Faktor-faktor ini membolehkan penanam kentang A.S. mengurangkan penggunaan racun makhluk perosak dan baja ke tahap minimum, seterusnya mengguna pakai amalan perladangan lestari.

Pengurusan Tanah dan Tanaman Secara Teliti

Penanam kentang A.S. menjaga kesuburan tanah dengan teliti. Mereka menggilirkan tanaman kentang mereka. Ini bermakna kentang hanya ditanam sekali setiap 3-5 tahun di kawasan yang sama. Ini memastikan tanaman yang lebih subur dan perladangan lebih lestari. Pada permulaan musim menanam, penanam bekerjasama dengan ahli agronomi yang bertauliah untuk memantau tahap nutrien dalam tanah. Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) membolehkan penanam kentang menentukan jumlah tepat baja di lokasi yang diperlukan untuk mengelakkan kekurangan atau berlebihan baja. Apabila ubi kentang tumbuh dalam tanah, penanam dan ahli agronomi memantau kemajuannya, dengan menguji tahap lembapan, serta kandungan pepejal dan gulanya.

Pengairan Yang Tepat

Peralatan moden lagi terkini mengukur kandungan air dalam tanah dan kadar penyejatan untuk menentukan dengan tepat keperluan pengairan. Sistem pengairan menggunakan teknologi GPS untuk membekalkan jumlah air secukupnya. Teknologi terkini digunakan untuk memantau cuaca supaya penanam boleh menyesuaikan pengairan mereka mengikut keperluan.

Teknik Kutipan Hasil & Penyimpanan Yang Rapi

Pengutipan hasil memerlukan pemeriksaan teliti bukan sahaja untuk memastikan ubi kentang betul-betul matang dari segi fisiologi, tetapi juga kandungan gulanya pada tahap yang wajar untuk penyimpnan dan pemprosesan secara optimum. Penanam kentang A.S. melabur dalam peralatan khusus berteknologi tinggi untuk melindungi kentang daripada kerosakan semasa kutipan, pengendalian dan pengangkutan. Hasil tanaman diperiksa dan digredkan oleh agensi USDA. Kemudian, diangkut ke kilang pemprosesan atau tempat penyimpanan yang dilengkapi sistem kawalan iklim, bagi mengekalkan kualiti dan khasiat pemakanan.